ٍٍImam al-Qadhi Yusuf bin Ismail bin Yusuf bin Ismail bin Muhammad Nashiruddin an-Nabhani dilahirkan pada tahun 12g5H / 1849M di Ijzim, Palestine. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang amat mementingkan urusan dan ilmu agama. Ayahandanya adalah seorang ulama sholeh yang hafal al-Quran. Di antara wirid ayahandanya tersebut adalah mengkhatamkan al-Quran 3 kali khatam setiap minggu. [... Allahu ... Allah, mana muka yang menolak ulama kerana kononnya nak merujuk terus kepada al-Quran, cuba ditanya berapa kali khatam al-Quran seminggu?]
Di bawah asuhan ayahandanya, beliau telah menghafal al-Quran dengan baik. Dalam usia 17 tahun, beliau dihantar oleh ayahandanya ke Mesir untuk meneruskan pengajian di Universiti al-Azhar asy-Syarif yang masyhur. Di Mesir beliau belajar dengan ramai ulama terkemuka, antaranya Syaikhul Masyaikh Ustadzul Asaatidzah al-'Allaamah Syaikh Ibrahim as-Saqaa asy-Syafi`i, al-'Allaamah Syaikh Sayyid Muhammad ad-Damanhuri asy-Syafi`i, al-'Allaamah Syaikh Ibrahim az-Zurru al-Khalili asy-Syafi`i, al-'Allaamah Syaikh Ahmad al-Ajhuri adh-Dharir asy-Syafi`i, al-'Allaamah Syaikh Hasan al-'Adawi al-Maliki, al-'Allaamah Syaikh Sayyid 'Abdul Hadi Naja al-Ibyari, Syaikhul Azhar al-'Allaamah Syaikh Syamsuddin Muhammad al-Anbabi asy-Syafi`i, al-'Allaamah Syaikh 'Abdur Rahman asy-Syarbini asy-Syafi`i, al-'Allaamah Syaikh 'Abdul Qadir ar-Raafi`ie al-Hanafi ath-Tharablusi, al-'Allaamah Syaikh Yusuf al-Barqawi al-Hanbali dan ramai lagi untuk disenaraikan. Setelah tamat pengajian di al-Azhar dalam bidang Syariah, beliau kembali ke Ijzim. Di samping berdakwah dan mengajar, beliau tetap belajar kepada para ulama yang ada di merata tempat, antaranya dengan Syaikh Mahmud Effendi Hamzah.
Sepanjang kariernya, Syaikh Yusuf pernah menjawat jawatan-jawatan seperti Qadhi Besar atau Ketua Hakim di Ladhiqiyya, Palestine, Ketua Hakim bagi al-Quds, Palestine dan akhirnya menjadi Ketua Hakim Beirut, Lubnan sehinggalah bersara. Setelah bersara beliau menumpukan sepenuh masanya untuk beribadah dan menetap lama di negeri kekasihnya, Junjungan Nabi SAW, Kota Madinah al-Munawwarah. Dalam kesibukannya, beliau masih sempat untuk menulis dan karya tulisannya yang ilmiah dan berbobot amatlah banyak meliputi berbagai bidang ilmu termasuklah ilmu hadits, sirah Junjungan Nabi SAW, ilmu sanad dan tafsir.
No comments:
Post a Comment