Friday, July 3, 2009

Maktab Mahmud Alor Setar


Al-Maahad Al-Mahmud termaktub sejarah penubuhannya pada hari hari Jumaat 29 RabiulAwal 1355 H bersamaan 19 Jun 1936 M. Perletakan batu asas telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahmud Ibni Al Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarramul Shah, Regent and President State and Council Kedah. Maktab Mahmud kemudiannya dibuka secara rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Negeri Kedah Darulaman pada ketika itu.

Maktab Mahmud merupakan sebuah sekolah yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kedah Darulaman dan dinaungi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Kedah Darulaman. Sejak awal penubuhannya hinggalah ke tarikh 31 Disember 1972, Maktab Mahmud hanya terdiri daripada pelajar-pelajar putera sahaj.Keunggulan Maktab Mahmud terserlah apabila Sekolah Agama Tarbiah Islamiah, Jalan Pegawai dicantumkan dengan Maktab Mahmud dan disatukan dibawah pentadbiran Lembaga Maktab Mahmud menurut Enakmen Lembaga Maktab Mahmud 1967. Lembaga yang ditubuhkn bertanggungjawab menguruskan urusan-urusan pentadbiran, kewangan, perkhidmatan, pendidikan dan lain-lain.

Jawatankuasa kecil pentadbiran Maktab Mahmud diterajui oleh seorang Pengetua, dibantu oleh 3 orang Penolong Kanan , 7 orang Guru Exco, 4 orang Guru Kanan Kumpulan dan 70 orang kakitangan akademik siswazah dan bukan siswazah yang terdiri daripada guru-guru Lembaga Maktab Mahmud, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Guru Bantuan Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darulaman. Pentadbiran Maktab Mahmud disokong oleh 19 orang kakitangan sokongan bukan akademik. Hingga kini Maktab Mahmud mempunyai jumlah pelajar seramai 1800 orang pelajar putera dan puteri.

Maktab Mahmud mempunyai 2 kompleks pendidikan iaitu Maktab Mahmud Putera dan Maktab Mahmud Puteri yang mampu menampung jumlah pelajar seramai 2500 orang serta mempunyai prasarana lengkap seperti pejabat, bilik guru, masjid, kafeteria, asrama, perpustakaan, bilik kuliah, dewan besar, bengkel kemahiran hidup, makmal sains,makmal kompute, bilik mesyuarat dan lain-lain kemudahan yang diperlukan bagi melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Sumber kewangan Maktab Mahmud pada peringkat awalnya bergantung kepada bantuan zakat dan yuran persekolahan . Kini Maktab Mahmud dibiayai oleh Kerajaan Negeri Kedah Darulaman dan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pendidikan. Selain itu, Maktab Mahmud mempunyai sumber kewangan sendiri hasil daripada harta-harta wakaf orang perseorangan berupa tanah wakaf orang perseorangan yang merangkumi tanah bendang seluas 122 relung daripada 7 kawasan berasingan dalam daerah Kubang Pasu, Kedah Darulaman.

Sistem persekolahan pada peringkat awalnya berpandukan sukatan Al-Azhar dan menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Sistem ini bermula daripada darjah 1 hingga darjah 8 atau dikenali dengan 4 Thanawi. Pada tahun 1960, Maktab Mahmud telah menerima sukatan Akademik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia tetapi masih mengekalkan pelajaran Bahasa Arab sebagai identiti keunggulan institusi ini. Pada tahun 1985, kelas aliran sains telah dieujudkan dan disusuli dengan kelasaliran perakaunan pada awal tahun 1998. Kini sistem pengajian di Maktab Mahmud menggunakan sukatan Kementerian Pendidikan sepenuhnya dan turut mengekalkan sukatan Al-Azhar sedia ada.

Pelajar-pelajar lepasan Maktab Mahmud berpeluang melanjutkan pelajaran ke mana-mana Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negeri. Bagi pelajar lepasan SPM, mereka berpeluang ke pusat-pusat matrikulasi universiti-universiti tempatan, Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) Maktab-maktab perguruan atau ke sekolah menengah kebangsaan agama . Pelajar lepasan STAM, mereka juga berpeluang melanjutkan pengajian mereka ke universiti timur tengah seperti Al-Azhar, Mesir dan institusi pengajian tniggi dalam negara seperti INSANIAH. Pelajar lepasan STPM juga berpeluang ke universiti tempatan.

Pelajar-pelajar juga berpeluang menyertai aktiviti ko-kurikulum di Maktab Mahmud seperti persatuan akademik, kelab-kelab permainan dan pasukan pakaian seragam bagi melatih sifat-sifat kepimpinan dan merupakan agenda yang dimestikan kepada semua pelajar bagi menyokong prestasi pelajar dan disiplin para pelajar.

Kini, dalam usianya yang menjangkau 62 tahun, Maktab Mahmud terus berusaha menjana visi dan misinya agar terus berdiri teguh di persada ilmu, dan menjadi harapan seluruh umat Islam di negeri Kedah khususnya agar Maktab Mahmud terus mengekalkan kesinambuungan tradisinya sebagai institusi pendidikan agama dan Bahasa Arab yang terulung dan mampu mengorak langkah seiring dengan arus perkembangan globalisasi dunia hari ini.

Kemasukan Ke Tingkatan Satu

Syarat :

  1. Pemohon mesti mendapatkan borang permohonan daripada Maahad Mahmud dan mengisi butiran yang diperlukan.
  2. Lulus dalam semua mata pelajaran peperiksaan percubaan UPSR Peringkat Negeri dan sekurangnya Lulus dengan pangkat C dalam mata pelajaran Matematik ( syarat tertakhluk kepada perubahan )
  3. Sedang belajar dalam darjah 6 Sekolah Jenis Kebangsaan atau Sekolah Kebangsaan.
  4. Warganegara Malaysia dan kelahiran serta kemasukan dalam tahun tertentu yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Lembaga Maahad.
  5. Setiap pemohon diwajibkan menghadiri Ujian Bertulis dan Tilawah Al-Quran yang dikelolakan oleh Lembaga Maktab Mahmud.

Tokoh bekas pelajar Maktab Mahmud

1) Datuk Zainuddin Maidin –bekas Menteri Penerangan

2) Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah

3) Brigadier Jeneral Jamil Khir Baharom bekas Pengarah KAGAT ATM,Menteri di Jabatan Perdana Menteri

4) Datuk Dr. Ismail Bin Ibrahim-bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Pemegang Amanah Universiti Ibn-Rusyd, Sepanyol

5) Al Marhum Dato' Haji Fadzil Mohd Noor Bekas Presiden PAS, Bekas Pengerusi GERAK

6) Datuk Dr. Abdul Halim Ismail Bekas Pengerusi Bank Islam

7) Prof Datuk Dr Othman Ishak Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

8) Datuk Dr. Mashitah Ibrahim Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

9) Yang Amat Arif Dato' Syeikh Ghazali bin Hj. Abdul Rahman Ketua Hakim Mahkamah Syariah Malaysia

10) Datuk Paduka Di Raja Syeikh Abdul Majid Md Noor Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

11) Al-Marhum Syeikh Niamat Yusof Tokoh Maal Hijrah Kedah

12) Ustaz Azizan Bin Abdul Razak Menteri Besar Kedah

13) Sheikh Roslan Bin Hj Abdul Halim Al-Hafiz Imam Besar Masjid Negeri Kedah Darul Aman (Masjid Zahir)

No comments:

Post a Comment